Yatim piatu disebabkan covid durjana

 Assalamualaikum. Lamanya tak menulis. 

Hari ini, aku memilih untuk menulis setiap bait ayat yang aku tak dapat nyatakan secara fizikal sebab tiada kekuatan. Perintah kawalan pergerakan, dan wabak covid-19 sememangnya akan memberi kesan buat aku dan keluarga selama-lamanya. 

Pada ogos dan september 2021, ketika wabak covid-19 sedang mencanak naik, ahli keluarga sebelah abah turun terkena wabak covid-19. Disebabkan mereka tinggal berdekatan, maka ramai ahli keluarga abah yang disahkan positif covid pada ketika itu. Keluarga pak long, keluarga pak lang, keluarga pak jang. Mujur sahaja tok yang pada ketika itu turut tinggal bersama mereka, tetapi takdir allah, tok negatif covid. 

Aku ingatkan kerisauan aku akan sedikit berkurang. aku ingatkan mereka semua akan berjaya melawan covid. tetapi, kondisi mereka yang disahkan positif semakin teruk. lepas sorang, sorang kena masuk hospital akibat kondisi yang tidak berapa baik. termasuk pak anjang dan mak anjang. pada ketika itu, pak anjang dirawat kerana oksigen yang rendah. waktu itu, mak jang bertarung nyawa kerana kondisi mak jang yang lebih teruk. 

hari berganti hari, pak jang dibenarkan keluar hospital. hati terasa sedikit lega. akan tetapi, kelegaan itu bertukar dengan peristiwa hitam. pak anjang dimasukkan semula ke hospital. dan kondisi pak jang secara mendadak tidak okay. dr cadangkan untuk pak jang ditidur atau erti kata perubatannya diintubasi. 

walaupun pada masa itu sudah banyak khabar dan cerita buruk tentang covid, hati ini setiap masa berdoa ada keajaiban agar mereka yang disahkan covid sembuh. terutamanya pak jang dan mak jang yang ketika itu dalam rawatan rapi. namun, selang beberapa jam, dr menelefon sepupu aku untuk hadir ke hospital. doktor memaklumkan yang tiada harapan untuk pak jang sembuh... dan dengan keadaan pak jang yang kritikal, jantungnya akan berhenti berdegup pada bila-bila masa. dr juga menyatakan jika jantung pak jang berhenti berdegup, mereka tidak galakkan cpr dilakukan. kerana potensi untuk pak jang sembuh rendah. dan organ organ dalaman pak jang semua rosak pada ketika itu. waktu itu, tiada daya dan upaya, tiada kata kata yang mampu diungkapkan. hanya perlu bersedia dengan apa jua keadaan. 

abah yang dimaklumkan akan berita ini pada lewat malam. tidurnya lansung tidak lena. setiap ketika dia membuka mata. mengerling ke arah telefon yang berada di sebelah. jikalau ada mesej yang memberitahu kondisi terkini pak jang. bukan abah sahaja yang risau, kami juga. pada pukul 5 pagi, kami dimaklumkan pak jang pergi buat selamanya. demi allah, tak pernah terfikir semua benda ini akan jadi pada kami sekeluarga juga. 

ketika itu, mak jang masih diintubasi di hospital. dia tidak mengetahui apa terjadi. selepas beberapa minggu diintubasi, doktor juga memaklumkan organ organ dalam mak jang semakin rosak. oksigen mak jang juga turun mendadak. yang kemudiannya membawa kepada kematian juga. 

tidak sampai sebulan, anak anak pak jang mak jang disahkan jadi yatim piatu dengan sekelip mata. 

aku mungkin tidak begitu rapat, tapi kehilangannya tetap dirasai oleh kami sekeluarga. pulang ke kampung tidak lagi sama macam dulu. terasa ada satu kekosongan yang tidak pasti bagaimana untuk menyatakan perasaanya. perasaan sedih dan pilu yang tidak disebut secara jelas oleh kami semua. hanya perasaan yang dibiarkan simpan dan pendam jauh di sanubari. membiarkan perasaan itu dan beranggapan ianya akan pergi satu hari nanti. 

tetapi ternyata tidak. di 2023, saat aku melihat posting sepupu aku yang memuatnaik posting ibu bapanya, hati ini sekali lagi digoresss pilu. terasa seakan tertusuk pilu. dada seakan ketat tidak dapat bernafas. rindu. ya, semestinya. 

kesedihan aku mula terarah kepada sepupu-sepupu aku yang kehilangan sayap dan tulang belakang mereka begitu sahaja. hidup tidak lagi bermakna apabila ibu dan bapa telah tiada. mungkin mereka boleh ukirkan senyuman, tetapi masih tersingkap kesedihan di raut wajah. hidup yang dulu di sediakan oleh ibu dan bapa, bertukar kepada masing masing perlu berdikari untuk teruskan perjuangan hidup. mereka masih kecil dan memerlukan kasih sayang ibu bapa, 

tidak dapat aku membayangkan kehilangan ibu dan bapa sekelip mata. apatah lagi mereka yang masih kecil. baru sahaja belajar untuk terbang, tetapi sayapnya sudah pergi dan tak akan kembali. 

bagaimana mungkin aku dapat lupakan sejarah hitam ini? bagaimana mungkin aku dapat teruskan hidup seperti masa lalu sedangkan dua nyawa telah terkoban. 

bukannya tak percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. tetapi posting ini sekadar untuk meluah tentang isi yang berada di dada. 

mari doakan sepupu sepupu aku terus kuat menghadap dunia dan melawan semua. semoga kekuatan dan ketabahan diberikan kepada mereka. 


Comments

Popular Posts