Tuesday, 23 June 2026

Jangan Terpedaya Harga Murah, Kenali Kepentingan Logo SIRIM Sebelum Membeli



(sumber AM Sales)

Baru-baru ini, tular kisah seorang pempengaruh yang mengalami kecederaan pada tangan selepas menggunakan sebuah pengisar yang baru dibelinya menerusi platform dalam talian. Kejadian tersebut membuka mata ramai pihak mengenai kepentingan memastikan barangan yang dibeli, terutamanya peralatan elektrik, memenuhi piawaian keselamatan sebelum digunakan.

Seiring dengan perkembangan teknologi dan kemudahan e-dagang, rakyat Malaysia kini semakin gemar membuat pembelian secara dalam talian. Pelbagai pilihan produk yang ditawarkan dengan harga menarik sering menjadi tarikan utama pengguna. Namun begitu, di sebalik kemudahan tersebut, aspek keselamatan tidak seharusnya dipandang ringan.

Kini, semakin ramai pengguna lebih bijak dengan membuat perbandingan harga, membaca ulasan serta menyemak maklumat produk sebelum membuat keputusan pembelian. Walau bagaimanapun, bagi barangan elektrik dan elektronik, terdapat satu perkara penting yang perlu diberi perhatian iaitu kewujudan logo SIRIM pada produk tersebut.

PERSOALANNYA, MENGAPA LOGO SIRIM BEGITU PENTING?

Logo SIRIM menunjukkan bahawa sesuatu produk telah melalui proses penilaian dan ujian keselamatan yang ditetapkan. Melalui makmal pengujian yang dimiliki, SIRIM menjalankan pelbagai ujian terhadap produk bagi memastikan tahap keselamatan, kualiti dan prestasinya sebelum berada di pasaran.

Antara ujian yang dijalankan termasuk ujian kenaikan suhu, kebocoran arus elektrik, tahap voltan serta pemeriksaan terhadap sebarang keadaan luar biasa yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

Lebih penting, pensijilan SIRIM membantu mengurangkan risiko bahaya seperti renjatan elektrik, kebakaran akibat masalah tenaga, kepanasan melampau, serta risiko lain yang melibatkan aspek mekanikal, radiasi dan bahan kimia.

Justeru, pengguna perlu memainkan peranan sebagai pembeli yang bijak dengan memastikan setiap barangan elektrik yang dibeli mempunyai logo SIRIM yang sah. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu murah tanpa mengambil kira aspek keselamatan.

Pada akhirnya, memilih produk yang mempunyai pengiktirafan SIRIM bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah turut menjamin keselamatan ahli keluarga. Sebelum menekan butang “beli”, pastikan logo SIRIM menjadi antara perkara pertama yang diperiksa.


Friday, 19 June 2026

Pelajar Latihan Industri Bukan Buruh Murahan: Tragedi Pelajar UPM Cetus Persoalan Keselamatan dan Tanggungjawab Majikan

Malaysia dikejutkan dengan satu insiden menyayat hati apabila seorang pelajar latihan industri dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tersedut ke dalam tangki air ketika menjalani tugasan di tempat latihan industrinya.

Kejadian tersebut bukan sahaja mengundang rasa simpati daripada masyarakat, malah turut membuka ruang perbincangan mengenai aspek keselamatan, pemantauan serta tanggungjawab organisasi terhadap pelajar yang menjalani latihan industri.

Menurut laporan SinarPlus, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 11.51 pagi.

Berdasarkan maklumat awal yang dilaporkan, berikut merupakan kronologi insiden tersebut:

  1. Mangsa dipercayai tersedut ke dalam tangki air ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kolam menara di Bandar Saujana Perdana.
  2. Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
  3. Ketua Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Cik Hamdan Hamzah memaklumkan bahawa pasukan bomba bertindak segera selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut.

Latihan Industri Bukan Sekadar Tenaga Tambahan

Tragedi ini mengingatkan semua pihak bahawa pelajar latihan industri hadir ke sesebuah organisasi bukan sekadar sebagai tenaga tambahan, tetapi sebagai individu yang sedang melalui proses pembelajaran dan pembangunan kemahiran.

Menurut laman sesawang Universiti Putra Malaysia (UPM), latihan industri merujuk kepada penempatan pelajar di sesebuah organisasi bagi menjalani latihan praktikal berkaitan bidang pengajian yang dipilih.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai suasana sebenar dunia pekerjaan, di samping membantu mereka memperoleh pengalaman praktikal serta meningkatkan kebolehpasaran sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Namun begitu, tanggungjawab organisasi yang menerima pelajar latihan industri bukan sahaja terhad kepada memberi pengalaman kerja, malah turut merangkumi aspek kebajikan, keselamatan serta bimbingan sepanjang tempoh latihan.

Setiap organisasi perlu memastikan pelajar diberikan penerangan yang jelas mengenai skop tugasan, latihan berkaitan keselamatan serta pemantauan yang bersesuaian dengan tahap pengalaman mereka.

Pelajar latihan industri sememangnya perlu diberikan peluang untuk belajar dan meneroka bidang pekerjaan, namun pendedahan tersebut perlu dilakukan dalam persekitaran yang selamat serta terkawal.

Membina Budaya Latihan Industri Yang Lebih Bertanggungjawab

Insiden ini wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak bahawa pelajar latihan industri bukanlah pengganti kepada tenaga kerja tetap atau sekadar sumber tenaga kos rendah. Mereka adalah pelajar yang memerlukan bimbingan, perlindungan dan peluang untuk berkembang dalam bidang yang diceburi.

Sudah tiba masanya aspek keselamatan dan kebajikan pelajar latihan industri diberikan perhatian yang lebih serius agar pengalaman bekerja yang diperoleh benar-benar menjadi proses pembelajaran, bukannya satu beban yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.


Wednesday, 10 June 2026

Rakan Sebilik Paling Bermakna

(kredit gambar: berita harian)

 Assalamualaikum kawan-kawan. 

Macam dah lama sangat je tak menulis di blog sini. Almaklumlah sekarang dunia media baharu, dimana video-video pendek menjadi kegemaran ramai. Lebih mudah difahami dengan hanya menonton. Aku juga begitu. Menghabiskan masa berjam-jam di Tiktok dan Instagram. 

Balik kerja pun dah lewat, jadi bila balik nak rehat sambil main telefon saja. 


"Balik kerja?"


Ye guys. Saya sekarang seorang pekerja, bak kata orang kampung saya di Gurun, Kedah, 'corporate slave' hehe gurau je tau. 

Bila aku dah kerja ni, aku teringat dekat rakan sebilik aku masa aku menjalani latihan industri. Aku intern dari Ogos 2024 sehingga Februari 2025. Jadi, rakan sebilik aku lah teman bersama. Untuk pengetahuan semua, aku sewa di sebuah bilik di area Bangsar South (padahal Kampung Kerinchi namanya, saja la nak nampak moden). Itu lah pengalaman pertama aku tinggal di Kuala Lumpur. Belajar berdikari sendiri. 

Orang kata, latihan industri ini untuk ajar kita sebelum berkerja dan menjadi dewasa. Sesungguhnya, menjadi dewasa itu tidak lah sebegitu mudah seperti apa yang saya bayangkan. Banyak cabaran dan dugaan sepanjang nak habiskan latihan industri itu. 

Waktu internship juga aku rasa fasa paling sepi. Kalau zaman belajar, at least ada kawan-kawan yang teman di kolej di UPM. Tetapi berbeza dengan semasa intern, sebab aku sewa bilik luar. 

Setiap hari aku rasa koyak, give up dan nangis. Itu lah peneman aku sepanjang internship. Tetapi, aku sangat berterima kasih pada ALLAH. sebab hadirkan Yaya, teman bilik (roommate) aku sepanjang 6 bulan itu. 

Yaya, muda beberapa tahun dari aku. Pelajar ijazah undang-undang dari Universiti Malaya. Mula mula aku ragu-ragu juga nak berkenalan dengan dia. Takut la nak kawan dengan lawyer to be. Takut tak sekufu pemikiran. 

Kuat betul aku menghukum. itu lah pepatah cakap, tak kenal maka tak cinta. 

Semakin lama aku menyewa dengan Yaya, semakin aku mengenali dia. 

Kami seakan bina satu rutin setiap hari, iaitu berborak tentang hari masing-masing. Ye, setiap hari. 

Beban yang aku perlu pikul, terasa sedikit ringan apabila dapat dikongsi dan bercerita dengan Yaya. She is very a good listener, a good person, lovely and very kind. 

Ada masa aku nangis sebab sedih stress intern, Yaya la menjadi tempat aku meluahkan rasa. Kalau nak tunggu kawan kawan lain, mereka juga tengah berjuang dengan intern dan mempunyai kekangan masa. 

Tapi Yaya dengar cerita aku. Kalau aku sedih, dia sedih juga. Kalau aku gembira, dia gembira juga. 

Kalau dia bercerita pun aku dengar juga. selalu juga aku tanya pasal undang-undang dekat dia. 

Yaya ni, dia sangat rajin. every day dia study. Mungkin sebabtu la ALLAH tentukan dia dapat belajar undang-undang.

Lepas aku habis intern, aku tak sempat untuk properly say goodbye. Yaya balik rumah dia cuti sem. aku pindah keluar tanpa sempat bersua muka. 

Jadi, sepanjang aku dah habis intern, selalu juga aku teringat dekat dia. tapi, aku segan nak mesej dia. sebab kami selalu berborak depan depan, tak biasa mesej mesej ni. Aku rindu, tapi tak tahu bagaimana nak sampaikan dekat dia. 

Tadi, aku berani kan diri. selepas hampir 1 tahun 4 bulan, aku beranikan mesej dan sampaikan hajat nak jumpa dia. Yaya masih friendly seperti mana yang aku kenal dulu. dapat la kami lepaskan rindu melalui mesej. 

Itu lah rakan sebilik saya guys. Rakan sebilik paling bermakna. Paling saya sayang.